Monday, February 21, 2005

Consumers Should Not Suffer In Silence, Says Claims Tribunal Head

February 21, 2005 19:35 PM E-mail this news to a friend Printable version of this news

PUTRAJAYA, Feb 21 (Bernama) -- Consumers who feel cheated or shortchanged should not hesitate to file claims with the Tribunal for Consumer Claims Malaysia as no one should suffer in silence for shoddy goods bought or services rendered.

In making this assertion, tribunal chairman Rungit Singh said that they should do so no matter how big or how small their claim was.

"We do not guarantee that you will get your award as there are also cases where we dismiss claims. But let the tribunal hear the merits of your claim.

"At the very least, they (claimants) will get the chance to see the traders in court and to hear from the traders first hand exactly what has gone wrong with the transaction," he told reporters after the tribunal's Putrajaya branch inaugural sitting here today.

Rungit Singh, who heads the tribunal since Oct 1 last year, said that in the long run, the existence of the tribunal would help improve domestic trade practices.

A total of 5,076 claims were filed last year and they have either been heard or fixed for hearing, he said, adding that 60 per cent of claims were generally related to goods and the rest to services.

-- BERNAMA


Sunday, February 20, 2005

Berita Minggu : S & J: Fomca, saluran agenda pengguna

S & J: Fomca, saluran agenda pengguna


SOAL kepenggunaan kerap terpampang di dada media cetak dan elektronik. Jika harga barang dan perkhidmatan melonjak naik, pastinya pengguna melenting dan menyuarakan ketidakpuasan.


Jawapan balas biasanya dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selaku kementerian yang diamanahkan kerajaan.

Seperti biasa, badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kepenggunaan turut mempertahankan hak pengguna bagi memastikan keselesaan kepenggunaan terus terbela. Antara orang kuat dalam soal kepenggunaan ialah Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau lebih dikenali sebagai Fomca.

Hidup mati kebajikan rakyat selaku pengguna, diperjuangkan oleh Fomca. Wartawan Berita Minggu, AHMAD FAUZI MUSTAFA, menemubual Setiausaha Agung Fomca, Muhammad ShaÆani Abdullah bagi mengupas peranan Fomca dan situasi semasa dalam soal kepenggunaan di kalangan rakyat negara ini.




S: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau Fomca dilihat sebagai satu badan yang mewakili segenap lapisan masyarakat sama ada dari peringkat bayi hinggalah kepada orang tua. Jika bayi memerlukan lampin dan susu, orang tua pula memerlukan ubatan atau kemudahan awam khusus bagi golongan itu. Bagaimana saudara melihat aspek itu di negara ini?



J: Bila mana seseorang pengguna menghadapi masalah yang mencabar haknya sebagai pengguna, memang nama yang pertama terlintas fikiran majoriti adalah Fomca. Ini terbukti dengan bilangan aduan yang setiap hari diterima di Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan (NCCC) dikendalikan oleh Fomca dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bagaimanapun, masih ada tanggapan terhadap kesedaran pengguna yang sepatutnya perlindungan pengguna adalah tanggungjawab semua. Ramai beranggapan bahawa masalah ôkepenggunaanö akan diuruskan ataupun diperjuangkan Fomca atau pun pihak lain dan tidak ramai mengambil daya usaha untuk sama-sama menyumbang untuk membangunkan pergerakan perlindungan pengguna sama ada idea, tenaga ataupun material secara sukarela.

Seharusnya, pengguna atau pun orang ramai perlu peka bahawa setiap barangan yang digunakan secara harian menentukan kepentingan bersama tidak kiralah mereka itu dari golongan bayi hingga kepada orang tua. Masing-masing mempunyai kepentingan dan harus bersama menjaga dengan baik.



S: Jika diamati, Fomca sekiranya dibentuk sebagai sebuah parti politik, ia amat berpengaruh kerana mewakili suara rakyat terbanyak. Bagi memastikan pengaruh itu memainkan peranan, bagaimana Fomca bertindak selaku sebuah badan NGO.



J: Untuk makluman semua, Fomca adalah sebuah badan payung menyatukan persatuan-persatuan pengguna pada peringkat negeri dan daerah di seluruh Malaysia dan ditubuhkan pada 10 Jun 1973. Ahli gabungan mempunyai ahli perseorangan dan menganjurkan pelbagai program pendidikan pengguna dan mengendalikan aduan pengguna di peringkat akar umbi. Fomca membangunkan keupayaan ahli-ahli gabungan dalam mengendalikan aduan pengguna dan juga menguruskan NCCC melalui Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCA).

Peranan utama Fomca kini lebih tertumpu kepada merencana dasar berkaitan kepentingan pengguna dengan membabitkan dalam majlis perundingan dan jawatankuasa pada peringkat Kementerian. Tanggungjawab ini memerlukan persediaan dari segi maklumat dan maklum balas terkini. Oleh itu, Fomca juga mula mengadakan penyelidikan, kajian dan bancian dengan kerjasama ahli gabungan dan rangkaian pertubuhan sosial lain.



S: Pelbagai isu kepenggunaan selalu timbul hingga kadangkala menimbulkan kontroversi termasuk masalah penyelewengan subsidi diesel, VCD haram yang terus aktif, iklan yang mengelirukan, jualan langsung, harga barangan basah naik mendadak terutama musim perayaan dan sebagainya. Akhirnya pengguna yang tertekan, apa pandangan Fomca dalam hal itu.



J: Semua ini bergantung kepada kesedaran sivik masyarakat. Masalah ini bukan sekadar kegagalan penguatkuasaan oleh agensi kerajaan ataupun hukumannya tidak cukup berat. Kita boleh tengok, walaupun pengedaran dadah membawa hukuman mati tetapi masih tidak dapat menghapuskan gejala ini.

Pengguna tidak boleh menyerahkan bulat-bulat pentadbiran semua hal kepada pihak kerajaan. Pengguna juga mesti menjalankan tanggungjawab untuk bertindak jujur, bertanggungjawab dan prihatin terhadap hal yang memberi kesan kepada pengguna.

Pengguna hendaklah berurusan dengan cara yang sah, umpamanya membeli barangan yang sah bukan mengambil kesempatan membeli barangan keluaran secara haram seperti VCD cetak rompak, membeli bekalan bahan api seperti diperuntukkan untuk kegunaan domestik ataupun kegunaan komersial/perindustrian dan sebagainya.

Selain proses penguatkuasaan, tindakan pengguna untuk melaporkan kepada pihak berkuasa serta menghindar daripada menyokong kegiatan tidak bertanggungjawab ini akan dapat mengurangkannya.



S: Bagai mana dengan sesetengah iklan yang mengelirukan pengguna?



J: Berhubung iklan yang mengelirukan juga memerlukan peranan pengguna. Walaupun ada beberapa badan industri dan badan kanun untuk mengawal selia kandungan iklan di media cetak, media elektronik dan papan iklan luar statik, maklum balas umum diperlukan untuk tindakan oleh pihak berkuasa atau pun pertubuhan sosial untuk bertindak. Makna mesej mungkin berbeza untuk golongan yang berlainan, golongan berpelajaran memahami makna tersirat tetapi orang ramai mungkin terkeliru dengan mesej yang sama.

Maklum balas ini perlu diajukan kepada pihak yang berkenaan untuk pertimbangan dan tindakan. Fomca juga diwakili dalam Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Kedua-dua adalah badan kawal selia industri telekomunikasi dan multimedia. Forum Pengguna menangani mutu perkhidmatan dan hal berkaitan harga manakala Forum Kandungan mengendalikan aduan serta pertikaian berkaitan kandungan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi siaran radio, televisyen, internet, telefon dan telefon selular.



S: Mengenai jualan langsung yang kini amat digemari masyarakat tempatan, ada ketikanya pihak pembekal dan pengedar mengambil kesempatan ke atas pengguna. Bagaimana pendapat saudara dalam hal ini?



J: Jualan langsung adalah suatu cara pemasaran yang diamalkan di negara ini. Ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk memperdayakan pengguna khususnya pengguna yang kurang teliti. Mangsanya bukan lagi suri rumah saja malah guru dan pegawai kerajaan yang dikelirukan dengan tawaran hadiah lumayan dan diperdayakan untuk membayar bayaran yang tinggi untuk barangan yang tidak diperlukan. Pengguna sebenarnya perlu bijak kerana tidak semudah barang mewah dijual dengan begitu murah termasuk menawarkan barangan sampingan sebagai satu daya tarikan kepada pengguna.



S: Bagaimana dengan tindakan kerajaan terutama KPDNHEP selama ini?



J: Tahap prestasi KPDNHEP perlu ditingkatkan. Prestasinya boleh diukur dari segi kepuasan pengguna mendapatkan bekalan keperluan di pasaran dan juga amalan peniaga yang menepati peruntukan undang-undang yang digubal untuk menjaga kepentingan pengguna.

Masih banyak premis perniagaan mempamerkan barangan tanpa tanda harga. Contohnya banyak pembekal kad pra-bayar telefon bimbit tidak mempamerkan tanda harga dan kami menerima aduan bahawa kad ini dijual dengan harga lebih tinggi daripada nilainya. Masih banyak kedai runcit, kedai makan, restoran dan gerai buahan tidak memperagakan tanda harga.

Di musim perayaan masih wujud amalan melanggar kawalan harga barangan terkawal musim perayaan. Adakah telur dijual dengan harga kawalan ? Di musim luar musim perayaan, telur tidak dilabel ikut gred dan di musim perayaan, telur terus tidak dijual. Apakah makna proses kawalan harga musim perayaan ? Ini hanya contoh yang menunjukkan bahawa peranan KPDNHEP masih perlu ditingkatkan secara berkesan.

Dalam hal kawalan VCD cetak rompak perlu dipuji pihak penguat kuasa kerana dapat mengekang gejala ini ke tahap yang memuaskan walaupun pihak pengeluar VCD masih tidak berpuas hati dengan keadaan semasa. Dengan kewujudan pelbagai jenis media untuk merakam dan menghantar kandungan ciptaan digital, pihak penerbit dan pengeluar hasil seni dan hasil perisian sistem perlu mewujudkan tawaran yang dapat menepati kemampuan dan selera pengguna negara ini dari segi harga. Jika tidak, gejala ini akan terus mengambil cara operasi mengikut perkembangan kini seperti secara on-line dan sebagainya.



S: Hubungan NGO terutama Fomca dengan kerajaan, Fomca dengan pengguna dan kerajaan dengan Fomca dan pengguna dilihat cukup penting, tapi ada ketikanya agak renggang. Apa pandangan saudara?



J: Sejak Datuk Mohd Shafie Apdal menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, beliau memberi kerjasama dan sokongan yang baik di peringkat kementerian kepada Fomca dalam mempromosikan program kesedaran pengguna. Kebanyakan kementerian lain juga membabitkan Fomca dalam memperoleh pandangan dan maklum balas dalam merangka dasar dan penggubalan undang-undang membabitkan pengguna.

Kami juga ingin memperluaskan pembabitan kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Penerangan, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta Kementerian Kewangan dalam melaksanakan program ke akar umbi dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang fungsi agensi ini dan peranan orang ramai dalam mendapat perlindungan pengguna.

Hubungan Fomca-pengguna perlu dieratkan dalam bentuk perhubungan dua hala dalam mendapatkan maklum balas pengguna tentang keperluan dan pandangan tentang isu dan masalah yang dihadapi pengguna serta menyampaikan perkembangan kini dalam usaha advokasi dan sokongan umum dalam memperjuangkan hak pengguna.

Banyak dasar kerajaan mudah disampaikan melalui pertubuhan sosial kepada orang ramai. Kerana itu, peranan Fomca haruslah digunakan oleh semua ejen perubahan di negara ini. Saling kerjasama dan sokongan agensi kerajaan dan swasta ke arah pembangunan sosial akan lebih berkesan dan mudah. Ini harus dimanfaatkan dengan baik.



S: Mungkin Fomca mempunyai cara tersendiri menjadi rapat dengan pengguna?



J: Perkembangan dari segi ekonomi dan teknologi membawa perubahan dalam interaksi dan perhubungan. Kemunculan internet, e-mail dan khidmat pesanan ringkas (SMS) merubah cara orang ramai berhubung dan berinteraksi. Fomca juga perlu mengubah cara berhubung dengan pengguna.

Kini Fomca juga menerima maklumat melalui SMS. Bagaimanapun, Fomca dan juga pergerakan pengguna keseluruhan di Malaysia berusaha menggunapakai pembaharuan untuk memberi khidmat kepada pengguna khususnya. Ini memerlukan kekuatan kewangan untuk membangun dan mengendalikan prasarana. Kami sedang melaksanakan rancangan pembangunan Fomca ke arah ini dan memohon sokongan yang padu dari semua pengguna.



S: Apakah kuasa yang ada kepada pengguna. Apa pandangan Fomca dalam soal itu.



J: Kuasa politik dan kuasa ekonomi ada pada pengguna. Undi dalam pilihan raya adalah kuasa pengguna. Harga di pasaran juga adalah kuasa pengguna. Jika semua pengguna bersatu hati kejayaan memihak kepada pengguna. Jika pengguna menganggap ia hanya seorang dan tidak berdaya, ia tewas dalam perjuangan.

Di sini pengguna tidak harus menganggap peniaga sebagai musuh tetapi seorang sahabat yang berusaha menyediakan suatu barangan ataupun perkhidmatan yang diperlukan oleh pengguna. Jika peniaga ini tiada pembekalan, ia tidak dapat diperoleh.

Akan tetapi jika berlaku penindasan dan pengambilan untung berlebihan ia boleh dikawal dengan tindakan sepakat oleh pengguna. Kawalan harga tidak menggalakkan pengeluaran cekap dan sikap pengguna yang tidak prihatin juga akan menggalakkan harga yang tidak munasabah. Contohnya, harga air minuman di Malaysia lebih tinggi daripada petrol dan lebih tinggi daripada di Arab Saudi. Ini kerana pengguna lebih rela membeli dengan harga ômahalö daripada membawa air masak dari rumah. Cubalah semua orang membawa air masak dan hentikan membeli air minuman botol selama seminggu. Apakah akan berlaku dengan harga air minuman ? Cuba buktikan kuasa pengguna.



S: Adakah pengguna boleh mengubah situasi pasaran yang kadang-kala mengganggu kesejahteraan pengguna terutama jika ada sesuatu kenyataan seperti berhubung kenaikan harga tol dan ikan.



J: Sebagai pengguna yang jujur, bertanggungjawab dan prihatin boleh mengubah keadaan pasaran yang memberi kesan buruk kepada pengguna. Sebagai pengguna jujur, kita harus tidak membuat tuntutan yang bukan-bukan. Seperti soal insurans, pengguna tidak seharusnya melakukan secara sendirian atau pun bersubahat dengan bengkel tidak bertanggungjawab yang akhirnya terjemah sebagai kos kepada semua pengguna dalam bentuk premium tinggi disebabkan tuntutan yang tinggi dialami oleh industri insurans.

Sebagai pengguna bertanggungjawab yang tidak menyokong kepada amalan perniagaan tidak baik, ia membantu pihak berkuasa dengan melaporkan apa yang dilihat dan didengari supaya orang ramai tidak menjadi mangsa.

Sebagai pengguna prihatin, ia mempengaruhi pasaran yang memberi keselesaan kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah dari segi harga barangan dan perkhidmatan dengan menyokong usaha advokasi dan kempen umum.





PROFIL:



Nama : Muhammad ShaÆani Abdullah

Asal : Kg Chatin, Batu 1, Jalan Temerloh, Mentakab, Pahang.

Lahir : 23 Mac 1957

Isteri : Jamilah Wahid

Anak : Akmal Hakim, 15, bersekolah di SM Agama Al-Ihsan, Kuantan; Iqbal Syafiq, 13, SM Agama Al-Kahiriah, Temerloh; Ariff Anwar, 11, SK Abu Bakar, Mentakab dan Arsyad Asyraf, sembilan tahun, SK Abu Bakar, Mentakab.



Pendidikan :

SRJK (T) Bandar Mentakab Darjah 6 (1964-1969); SM Hwa Lian, Mentakab - LCE (1970-1973); SM Abu Bakar, Temerloh - MCE (1974-1975); Diploma Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM) (1976-1979) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian UPM (1981-1984).



Pengalaman bekerja:

Guru sandaran (Ogos 1979 - November 1979); Tutor UPM (Julai 1984 - Mac 1985); Pegawai Eksekutif Perbadanan Khidmat Pertanian Felda dan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak Sungai Tekam (April 1985 - Oktober 2000); Pengurus Pemasaran Kumpulan Plantation Resorts Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh Felda Agricultural Services Sdn Bhd) - (Oktober 2003 - Oktober 2004); Pengurus Produk Felda Herbal Corporation (anak syarikat Felda Agricultural Services Sdn Bhd) - (November 2004 hingga kini).



Sumbangan sosial :

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pahang (PAC) (1998- kini); Naib Pengerusi Persatuan Galakan Pelancongan Negeri Pahang (PESTA) (1998 - kini); Naib Presiden Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (2002 - kini); Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Aduan Kad Perubatan KPDNHEP mewakili Fomca (2002 - kini); Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bahan Penipisan Ozon, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mewakili Fomca (2001 - kini); Ahli Jawatankuasa Kualiti Bahanapi Petroleum Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mewakili Fomca (2001 - kini); Ahli Majlis Fomca (1994 - 1998); Naib Presiden Fomca (1998 - 2000); Setiausaha Agung Fomca (2000 - 2002); Timbalan Presiden Fomca (2002 - 2004); Setiausaha Agung Fomca (2004 - kini).

This page is powered by Blogger. Isn't yours?